KOTA KINABALU: Persatuan Perlindungan Jerung Sabah (SSPA) akan memperkenalkan alternatif baharu menggantikan hidangan sup sirip ikan yu dalam usaha melindungi spesies ikan yu daripada pupus.

Pengerusi SSPA Aderick Chong berkata, melalui usaha berkenaan, ikan empurau dijadikan sebagai pengganti hidangan sup sirip ikan yu yang mana ikan itu (empurau) mempunyai kualiti sama seperti ikan yu.

“Tahun ini kami melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan ikan empurau dengan sokongan daripada Royal Empurau sebagai alternatif terbaik melindungi habitat ikan yu di perairan Sabah.

“Ikan empurau ini bukan sahaja sama nilai ataupun berkhasiat seperti ikan yu mahupun sup sarang burung tetapi ia juga sangat sesuai dalam menggantikan permintaan sup sirip ikan yu ini.

“Dan usaha ini sangat bersesuaian untuk mengurangkan penangkapan ikan yu yang dilindungi daripada ditangkap secara besar-besaran untuk kepentingan mereka yang menginginkan hidangan ikan yu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siding media ‘Alternative To Shark Fin Soup Exhibition’ di sini pada Isnin.

Katanya, pameran yang akan diadakan pada 11 November di pusat beli belah Imago adalah satu usaha untuk meningkatkan kesedaran menghentikan penangkapan ikan yu untuk dijadikan hidangan makanan.

Selain itu jelasnya, sebagai usaha menghentikan penangkapan ikan yu di perairan Sabah mereka turut memperkenalkan hidangan baharu berasaskan ikan empurau yang mana hidangan berkenaan lebih mampan dan berprestij.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata program berkenaan adalah sebagai usaha SSPA menyediakan alternatif baharu menggantikan sup sirip ikan yu berkenaan.

“Sebabnya adalah senang, iaitu SSPA berusaha untuk mendidik orang awam agar tidak memakan atau meminta sup sirip ikan yu.

“Kami faham akan sensitivi berkenaan sup sirip ikan yu terutamanya dalam kalangan sesetengah lapisan masyarakat yang percaya akan khasiat sup berkenaan.

“Namun alternatif yang dibawakan oleh SSPA ini adalah satu usaha yang mana memperkenalkan keistimewaan ikan Empurau dan saya sangat gembira kerana SSPA meneruskan usaha mereka untuk mendidik orang awam dalam melindungi ikan yu di perairan Sabah,” katanya.

Masidi menjelaskan bahawa SSPA juga giat menjalankan aktiviti perlindungan ikan yu di 7.4 peratus kawasan perairan Sabah yang melibatkan semua taman laut seperti Pulau Tiga, Pulau Penyu, Pulau Sipadan, Taman Laut Tun Mustapha, Taman Laut Tun Sakaran dan Taman Laut Tun Abdul Rahman.

Tambahnya aktiviti melindungi spesies berkenaan adalah juga satu usaha melindungi industri pelancongan Sabah.

“Saya ingin menyatakan bahawa aktiviti menyelam adalah salah satu aktiviti paling aktif dalam industri pelancongan di Sabah.

“Maksudnya, masih ramai orang luar dan dalam negeri datang ke Sabah untuk melakukan aktiviti menyelam bagi melihat kekayaan khazanah laut Sabah termasuklah hidupan ikan yu ini yang terdapat di perairan kita.

“ Kita katakana seumpama ini untuk melindungi ikan yu kerana ia juga meningkatkan ekonomi industry pelancongan dan jika habitat ikan yu ini berkurangan maka kurang jugalah orang datang untuk melakukan aktiviti menyelam di Sabah,” jelasnya.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datu Rosmadi Datu Sulai.

Source: http://www.utusanborneo.com.my/2017/09/20/empurau-setanding-khasiat-yu